KUALA LUMPUR: Satu kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan tidak lama lagi bagi mengukur daya maju sistem rel yang akan dibina di Sarawak berikutan negeri itu belum lagi memiliki sebarang rangkaian rel, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Buat masa ini kita masih di peringkat awal dan kementerian pengangkutan negeri sedang berbincang dengan kita di peringkat kerajaan Persekutuan. Mungkin, kami boleh memohon peruntukan supaya kajian itu dijalankan untuk Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Wanita dalam Rel Malaysia 2023 hari ini.

Mengenai rangkaian rel Sabah pula beliau berkata negeri itu mempunyai rangkaian rel yang pendek dan terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan.

Bagi pihak kerajaan persekutuan, kita menyokong penuh visi dan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Sarawak dan berharap negeri ini berjaya menguruskan rangkaian pengangkutan yang lebih baik, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan terus berusaha menyiapkan projek Rel Berkembar Gemas-Johor Bahru, Rangkaian Rel Pantai Timur, Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan mula melancarkan projek baharu termasuk Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) di Lembah Klang dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

"Infrastruktur ini merupakan pemangkin ekonomi yang akan mengubah cara kita dan generasi seterusnya hidup dan bekerja pada masa hadapan.

"Pelaburan kukuh dalam pengangkutan rel bandar bukan sahaja akan mewujudkan bandar yang padat tetapi juga meningkatkan produktiviti ekonomi, menghubungkan komuniti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu Loke berkata kementerian komited untuk mewujudkan industri rel yang inklusif dan progresif yang mengiktiraf dan memperkasakan sumbangan wanita yang tidak ternilai.

"Kita perlu memastikan wanita mempunyai akses yang sama kepada peluang, sama ada dalam bidang kejuruteraan, operasi, pengurusan atau mana-mana aspek lain dalam industri rel.

"Lebih penting lagi kita menarik dan menyokong penglibatan wanita dalam bidang pesat membangun seperti pendigitalan, kecerdasan buatan dan pengangkutan mampan," katanya.

-- BERNAMA