MALAYSIA
Kerajaan jamin pertahan hak Orang Asli melalui pindaan Akta 134 - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata, terdapat tujuh aspek yang diberi perhatian dalam pindaan itu, iaitu berkaitan tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk terus mempertahankan dan mempertingkatkan hak masyarakat Orang Asli melalui pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang akan dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Kerajaan komited meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bagi mempertahankan dan mempertingkatkan hak masyarakat Orang Asli meliputi tujuh aspek: tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.
- Kajian semakan pindaan sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas MaPOA serta soal selidik dengan kepimpinan Orang Asli dan agensi berkaitan.
- Isu pentadbiran tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan akan dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara selepas sesi libat urus MaPOA.
"Kajian Semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 sedang dilaksanakan bagi menghalusi dan mengkaji semula peruntukan semasa dalam Akta 134 secara menyeluruh serta mengenal pasti jurang dalam perlaksanaan akta berkenaan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang meminda Akta 134 yang sedang berkuat kuasa ketika ini bagi memastikan perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli terus terjamin.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata hal berkaitan pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) bagi membincangkan hal berkaitan tanah melibatkan Orang Asli.
"Sesi libat urus melalui Mesyuarat Khas MaPOA ini amat penting sebelum isu tanah berkenaan dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri," katanya.
Ahmad Zahid berkata KKDW turut mendapatkan input melalui sesi libat urus dan soal selidik dengan kepimpinan Orang Asli dan agensi berkaitan supaya pindaan Akta 134 bersifat komprehensif dan holistik dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Sementara itu, beliau berkata Dasar Pembangunan Orang Asli yang dilaksanakan dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) juga membuktikan Malaysia mengadaptasi pendekatan terbaik daripada negara lain untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami