Kerajaan jimat RM5 bilion hasil penyasaran semula subsidi diesel - MOF

MoF berkata, penjimatan ini telah mengurangkan tekanan terhadap fiskal negara serta membolehkan dana disalurkan semula bagi tujuan yang lebih produktif, termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menjimatkan sekitar RM5 bilion setahun melalui penyasaran semula subsidi diesel di bawah Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) sejak ia mula dilaksanakan pada 10 Jun 2024, kata Kementerian Kewangan (MoF).
MoF berkata, penjimatan ini telah mengurangkan tekanan terhadap fiskal negara serta membolehkan dana disalurkan semula bagi tujuan yang lebih produktif, termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
"Antara langkah proaktif Kerajaan adalah menambah baik bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan meningkatkan peruntukan kepada RM13 bilion di bawah Belanjawan 2025, berbanding RM10 bilion ringgit pada tahun sebelumnya dan seterusnya kepada RM15 bilion melalui inisiatif Penghargaan SARA.
"Hasil penjimatan juga digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang dapat meningkatkan kapasiti produktif negara," kata MoF menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.Selain itu, MoF memaklumkan bahawa lebih 140,000 penerima BUDI Individu dan 180,000 penerima BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan, dengan jumlah bayaran masing-masing sebanyak RM430 juta dan RM350 juta.
Bagi segmen kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Program BUDI MySubsidi Diesel, setakat 30 Sept 2025, MoF berkata sejumlah 121,618 syarikat melibatkan 355,074 kenderaan telah diluluskan bagi kemudahan penggunaan "fleet card".
Langkah ini membolehkan kenderaan berkenaan mendapatkan bekalan diesel pada harga RM2.15 seliter selain memastikan kos operasi sektor logistik tidak meningkat secara mendadak dan harga barangan keperluan kekal berpatutan.
MoF berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin mengetahui keberkesanan penyasaran subsidi petrol dan diesel dalam mengurangkan ketirisan serta beban fiskal negara.
Selain itu, melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan pada September lepas, MoF berkata lebih 12.4 juta warganegara daripada 16.5 juta yang layak telah menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, melibatkan nilai jualan melebihi RM1.85 bilion atau penggunaan lebih 930 juta liter setakat 21 Okt, 2025.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis yang sama memaklumkan bahawa untuk pengagihan subsidi bersasar petrol RON95, Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan salah satu pangkalan data rujukan bagi tujuan pengesahan oleh pihak MoF.
"Berdasarkan data yang tersedia, kerajaan boleh mengenal pasti program intervensi sosioekonomi untuk kumpulan sasar tertentu. Dalam hal ini, PADU boleh dimanfaatkan sebagai pangkalan data yang menjadi rujukan oleh agensi kerajaan berkaitan," kata kementerian berkenaan.
-- BERNAMA
Kalkulator Belanjawan 2026 - Ketahui Apa Manfaat Anda di sini!


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami