YAN: Kerajaan sedang mengkaji cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam di Sanglang, daerah Kubang Pasu untuk mengendalikan kargo petroleum dan pukal yang bakal menambah nilai kepada ekonomi Kedah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek itu juga akan melibatkan laluan penghubung jambatan darat atau 'land bridge' antara selatan Thailand dan Malaysia.

"Sekiranya menjadi realiti, projek ini akan memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri Kedah termasuk meningkatkan keyakinan pelabur untuk menanam modal di negeri ini dan juga wilayah utara amnya," katanya ketika merasmikan Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Kumpulan MMC Corporation Bhd Tan Sri Tajudin Atan dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Terdahulu dalam ucapannya Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri Kedah berharap mendapat sokongan daripada Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan cadangan pembangunan pelabuhan laut dalam itu.

Beliau berkata projek tersebut dilihat amat strategik dan berupaya menjadi projek ikonik yang boleh memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Menurutnya, cadangan untuk membangunkan pelabuhan itu dikemukakan kepada kerajaan negeri oleh Kumpulan Albukhary yang turut mencadangkan projek 'land-bridge' dibina ke Songkhla, Thailand bagi memendekkan jarak dan masa perjalanan antara Selat Melaka (di timur) dengan Teluk Siam (di barat).

"Melihat prospek dan potensi perkembangan yang berlaku khususnya di Pulau Bunting, Yan dan cadangan pelabuhan laut dalam di Sanglang, kerajaan negeri memohon perhatian khusus kerajaan persekutuan untuk meluluskan penubuhan Lembaga Pelabuhan Kedah.

"Lembaga ini akan bertindak sebagai pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab ke atas operasi pelabuhan di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA