Kerajaan akan mengkaji semula diskaun 18 peratus ke atas kesemua tol di bawah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), bagi menilai kesannya ke atas Dasar Penswastaan Negara, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kerajaan pada masa kini melihat diskaun yang dilaksanakan sewaktu era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai kesan ke atas lebuh raya lain.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, kajian semua diskaun tol merupakan antara perkara dasar yang akan menjadi agenda mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

“Salah satu keputusan (era Pakatan Harapan) ialah 18 peratus diskaun untuk tol PLUS, tetapi tidak kepada lebuh raya yang lain. Ini sudah pasti akan menukar keseluruhan Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan dulu.

“Dan apabila Pakatan Harapan memutuskan untuk jumlah diskaun itu, kita kena kaji balik setakat mana impaknya kepada dasar penswastaaan berhubung kait dengan tol lebuh raya (sama ada) ia akan beri impak seperti tol lebuh raya lain akan terus naik….sedangkan Lebuh Raya PLUS kekal pada satu harga,” katanya lagi.

Fadilah berkata demikian kepada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan CIDB Malaysia, sempena Program Penjana Kerjaya PERKESO bagi Sektor Pembinaan.

Pada Januari, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, pelaksanaan diskaun tol 18 peratus bermula 1 Februari 2020 itu tidak akan menjejaskan kedudukan serta kewangan PLUS Malaysia Bhd.

BACA: Kerajaan laksana 18% diskaun di semua lebuh raya PLUS mulai 1 Feb

BACA: Pengurangan tol 18 peratus tidak jejaskan sumber kewangan PLUS - Tun Mahathir

Beliau berkata, lanjutan tempoh yang diberikan selama 20 tahun dari 2038 kepada 2058 juga mampu memastikan syarikat terbabit memperoleh hasil kutipan yang mencukupi.

Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata, pelaksanaan diskaun itu merupakan keputusan mesyuarat Kabinet menstrukturkan semula konsesi PLUS bagi memberikan penjimatan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.

Mengulas mengenai status terkini pengambilalihan empat konsesi tol di bawah Gamuda Bhd oleh kerajaan, Fadillah berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Kerajaan PH pada 2019 mengumumkan pengambil alihan empat lebuh raya iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1,377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Namun tiada sebarang pengumuman atau langkah susulan selepas kejatuhan kerajaan yang diterajui Dr Mahathir itu, awal tahun ini.

BACA: Kerajaan tawar Gamuda RM6.2 bilion untuk ambil alih empat lebuh raya bertol