ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuka semula ruang udaranya pada pagi Selasa selepas penutupan singkat selama kira-kira dua jam berikutan ancaman serangan peluru berpandu dan dron dari Iran.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kebangsaan (GCAA) dalam satu kenyataan memaklumkan operasi trafik udara di seluruh negara kini kembali normal selepas penilaian komprehensif terhadap risiko keselamatan dan operasi dijalankan.
Advertisement
Keputusan penutupan sementara itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga luar biasa bertujuan menjamin keselamatan penerbangan, anak kapal serta kedaulatan wilayah negara itu.
"Keutamaan mutlak kami adalah keselamatan penumpang dan anak kapal, di mana semua operasi dijalankan mengikut piawaian global tertinggi bagi memastikan pengalaman perjalanan yang selamat," menurut kenyataan GCAA.
Langkah drastik ini dilakukan selepas Kementerian Pertahanan UAE mengesahkan sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap gelombang baharu serangan peluru berpandu dan dron dari Iran.
Insiden tersebut berlaku di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang kini memasuki hari ke-18.
Penutupan ruang udara tersebut menyusul selepas satu serangan dron dilaporkan mencetuskan kebakaran pada tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sehari sebelumnya, selain kebakaran di zon industri minyak Fujairah.
Pihak berkuasa UAE turut menasihatkan orang awam supaya hanya bergantung kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai jadual penerbangan dan status ruang udara negara bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
Penumpang juga digesa untuk mengesahkan status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.