KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju mengekalkan jawatan guru besar yang menyandang Gred DG52 dan DG54 secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, guru besar Gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) tersebut tidak akan diturunkan sebagai guru penolong kanan atau guru biasa di sekolah rendah.

Tambah Ismail Sabri, gred guru besar dan guru penolong kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54.

“Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan guru besar dan guru penolong kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan tersebut sehingga Gred DG54.

“KPM juga sedang mengkaji struktur perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54 bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berucap pada Perhimpunan Khas Bersama Warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) seluruh negara di Pusat Pameran Konvensyen Matrade, di sini.

Hadir sama Presiden NUTP, Aminuddin Awang dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan 'turun pangkat' dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Perdana Menteri berkata, peningkatan gred jawatan guru besar dan guru penolong kanan tersebut akan memberi faedah secara langsung kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48 juga diberi peluang untuk dilantik sebagai guru penolong di sekolah rendah.

Ia menjadikan guru penolong kanan di sekolah rendah, tidak hanya terhad kepada Gred DG44, tambahnya.

Kata Perdana Menteri lagi, Guru Penolong Kanan yang telah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi turut akan kekal di jawatan itu sehingga Gred DG54.

Selain itu, Perdana menteri mengumumkan laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga ke Gred DG52 dan DG54 memandangkan 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.

"Kerajaan serta seluruh Keluarga Malaysia amat memahami dan menghargai jasa serta semangat juang tinggi guru-guru demi melahirkan insan-insan yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan," kata Perdana Menteri.