KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan bahawa kerajaan memfailkan Notis Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin awal hari ini.

“Pihak pendakwaan dengan ini ingin menyatakan bahawa Notis Rayuan ke atas keseluruhan keputusan tersebut telah pun difailkan pada hari ini,” kata AGC dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, jabatan itu turut menegaskan keputusan mahkamah hari ini hanya bersabit tuduhan yang dihadapi Muhyiddin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Pihak Pendakwaan juga ingin menjelaskan bahawa permohonan yang telah diputuskan oleh Mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM sahaja,” katanya.

[TERKINI] Mahkamah lepas, bebas kes salah guna kuasa Muhyiddin

Tambahnya, tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Pengerusi Perikatan Nasional itu masih kekal dan akan melalui peringkat sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September ini.

Pada 18 April lalu, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk memohon dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas, selain prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

BACA: AGC akan fail rayuan berhubung pembebasan Muhyiddin petang ini

Dalam keputusan hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin berkata pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.