Kerajaan kerjasama dengan pihak berkuasa pantau penularan ajaran sesat - Zulkifli

Zulkifli berkata peranan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan dan institusi berkaitan penting dalam menangani isu ajaran sesat. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memantau dan membanteras penularan ajaran sesat di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peranan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan dan institusi berkaitan juga penting dalam menangani isu ajaran sesat, seterusnya memastikan Malaysia menjadi model negara Islam yang terbaik.
"Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memantau perkara tersebut. Semuanya (ajaran sesat) berada dalam radar kami. Pemantauan serta penguatkuasaan yang dilakukan juga perlu mengikut lunas undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Misi Bantuan Pascabencana Skuad Ihsan MADANI (Hal Ehwal Agama) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan sebanyak 14 ajaran sesat dikenal pasti masih aktif di negara ini dan dipantau rapi oleh Polis Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata pihaknya melalui agensi berkaitan juga sentiasa aktif menjalankan program advokasi kepada pelbagai lapisan masyarakat, bukan sahaja mengenai bahayanya ajaran sesat malah mengenai keindahan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunah.
"Yang paling penting bagaimana kita membawa ajaran Islam yang sebenar supaya semua ajaran sesat boleh dikuburkan," katanya.
Terdahulu, Zulkifli menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas dan kelengkapan persekolahan kepada lebih 100 penduduk di Kuala Terengganu yang terjejas akibat banjir pada musim tengkujuh kali ini.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 540 pelajar dan 772 keluarga yang terjejas banjir di Terengganu menerima manfaat daripada Program Misi Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan MADANI (Hal Ehwal Agama) yang dilaksanakan oleh semua agensi di bawah kementerian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


