PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Op Patuh bagi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat nasional.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, operasi itu bakal melibatkan pemeriksaan, pemantauan yang lebih tersusun dan pantas.

"Jawatankuasa koordinasi pematuhan SOP COVID-19 (JKPS) bersetuju melancarkan operasi membanteras ketidakpatuhan SOP diperingkat nasional secara bersepadu dan besar besaran dikenali sebagai Op Patuh.

"Ops ini memberikan fokus dan bersepadu penguatkuasaan, pematuhan sop seperti kilang dan premis perniagaan yang beroperasi termasuk penyalahgunaan surat kelulusan dikeluarkan kementerian, jabatan dan agensi," katanya.

Selain pemeriksaan, jawatankuasa itu jelas Hamzah turut menambahbaik prosedur aduan, pelaksanaan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih tersusun dan pantas.

Tambahnya, ia bagi memastikan usaha kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti dirancang berjaya.

"Sekatan jalan raya (SJR) atau SJR bergerak akan ditumpukan di kawasan hotspot COVID-19 diseluruh negara terutama di kawasan kilang dan industri.

"Termasuk penggunaan aset strategik akan diatur gerak secara bersepadu seperti helikopter, dron dan pemantauan ini dengan lebih berkesan secara pemetaan," jelasnya lagi.

Sehingga 24 Jun jelasnya, sebanyak 123,000 premis perniagaan, 22,000 buah kilang telah diperiksa di seluruh negara.

Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 885 kompaun telah dikeluarkan, 265 premis diarahkan tutup, 39 tangkapan dilakukan kerana melanggar sop PKP.

Dalam perkembangan sama, Hamzah turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa koordinasi pematuhan SOP COVID-19 (JKPS) yang akan mengetuai dan koordinasi aspek penguatkuasaan sop PKP di seluruh negara.

Jelasnya, jawatankuasa itu bakal melibatkan kerjasama 21 kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.

"Tindakan penguatkuasan di lapangan lebih pantas dan tersusun, Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertindak sebagai pasukan respons pantas.

"Kita akan pastikan mereka turun ke lokasi telah dikenal pasti sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebelum tindakan susulan diambil agensi penguatkuasa berkaitan," jelasnya lagi.