Skip to main content

Malaysia

Kerajaan luluskan penubuhan MARA Corp - Shafie

41355890580_295x200.jpg
Kerajaan telah meluluskan penubuhan Majlis Amanah Rakyat Corporation (Mara Corp.) bagi memastikan Mara terus kekal relevan dan berdiri teguh dalam mengangkat martabat bangsa.

Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penubuhan Mara Corp yang antara lain bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus syarikat-syarikat subsidiari Mara, turut berperanan melonjak keupayaan agensi itu dalam membangunkan perniagaan.

Katanya, menerusi Mara Corp., sistem pelaburan dan kewangan syarikat subsidiari di bawah Mara akan mampu diurus dengan lebih sistematik, cekap dan profesional.

"Ini bagi memastikan kewangan Mara dimantapkan dan dipertingkatkan, selain tidak terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata dalam membela nasib bangsa pada masa akan datang.

"Dengan adanya Mara Corp., hala tuju dan fokus (syarikat subsidiari) akan lebih jelas dan mampu membawa hasil dan dividen lebih banyak kepada Mara agar dapat dimanfaatkan untuk anak bangsa, bukan hanya dalam bidang keusahawanan tetapi juga bidang pendidikan," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan Mara 2014 di sini malam ini.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan 307 warga kerja Mara termasuk para pesara dan kakitangan yang telah berkhidmat selama 25 tahun di agensi itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.

Dalam ucapan sama, Mohd Shafie berkata para pesara perlu merancang dan menyusun bidang yang hendak dilakukan selepas menamatkan perkhidmatan bagi memastikan kepakaran dan pengalaman yang ada tidak disia-siakan begitu sahaja.

"Golongan pesara Mara masih boleh menyalurkan kepakaran dan pengalaman sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada kerajaan dan Mara demi kepentingan pembangunan anak bangsa," katanya.

Must Watch Video