Skip to main content

Malaysia

ASEAN 2026: Johari Ghani, Mohamad Hasan perkasa agenda Malaysia di Cebu

CEBU (Philippines), May 6 - - The Philippines assumes the ASEAN Chairmanship from Malaysia on Jan 1, 2026, under the theme “Navigating Our Future, Together,” guiding ASEAN’s priorities through three pillars: Peace and Security Anchors, Prosperity Corridors and People Empowerment.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Persidangan hari ini memberi tumpuan kepada perbincangan kerjasama serantau merangkumi aspek ekonomi, politik, keselamatan serta hubungan diplomatik. - Foto BERNAMA

CEBU: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina diteruskan pada Khamis dengan pelbagai mesyuarat penting melibatkan pemimpin serta menteri daripada 11 negara anggota.

Persidangan hari ini memberi tumpuan kepada perbincangan kerjasama serantau merangkumi aspek ekonomi, politik, keselamatan serta hubungan diplomatik.

Program dimulakan dengan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27 yang disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ia kemudian disusuli Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Mesyuarat Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, dengan tumpuan terhadap isu keselamatan serantau dan kerjasama strategik antara negara anggota.

Turut berlangsung Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-38 sebelum Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN jam 2.15 petang yang turut disertai Johari.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba di Pangkalan Udara Mactan-Benito Ebuen kira-kira jam 1.50 tengah hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 serta mesyuarat berkaitan.

Hari ini, beliau akan mengikuti Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) jam 4 petang di Shangri-La Mactan.

Pada Rabu, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony dalam taklimat bersama media berkata, Malaysia dijangka membawa agenda berkaitan kesan konflik di Asia Barat.

Antara lain adalah mengenai tindak balas ASEAN dalam memastikan keselamatan tenaga dan makanan serantau.

Menurut beliau, sidang kemuncak kali ini menjadi platform kepada Malaysia untuk berkongsi serta bertukar pandangan mengenai pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju blok serantau berkenaan.

Penyertaan Malaysia tahun ini mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh kepusatan ASEAN, selain memperteguh perpaduan dan daya tahan rantau dalam persekitaran global yang semakin mencabar.


 

Must Watch Video