PENDANG:Kerajaan negeri Kedah menzahirkan ucapan takziah kepada penyerang JDT, Muhammad Syafiq Ahmad atas kehilangan ibu mentua serta bayi lelakinya dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Sungai Bakap, awal pagi Ahad.

Ucapan takziah itu disampaikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, yang hadir ke pengebumian jenazah kedua-dua mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang, malam ini.

Sanusi berkata, beliau memahami kesedihan yang dirasai Muhammad Syafiq ketika ini dan mendoakannya tabah menghadapi ujian dan reda dengan ketentuan Allah.

"Kerajaan negeri berdukacita simpati di atas kehilangan yang dihadapi oleh saudara Syafiq dan keluarga beliau... lebih-lebih lagi kehilangan anak yang baru berusia 22 hari.

"Kita berharap beliau dan isteri dapat bersabar dan saya yakin beliau mendapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan," katanya di sini, malam ini.

BACA: Jenazah ibu mentua, anak Syafiq Ahmad selamat dikebumi

BACA: Penyerang JDT, Syafiq Ahmad kemalangan, anak maut


Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menyampaikan sumbangan kewangan bagi membantu keluarga Muhammad Syafiq dalam masa terdekat.

Terdahulu, Sanusi turut menyiram air mawar ke pusara ibu mentua Syafiq, Zainab Wahab, 46, dan cucunya, Muhammad Aisy Saqeef.

Turut hadir bapa mentua Muhammad Syafiq, Norain Shahadan, 50, serta ahli keluarganya yang lain selain pemain pasukan Kedah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi Ahad, di Kilometer 163.6 PLUS arah utara, dekat Sungai Bakap, tiga dilaporkan maut iaitu ibu mentua Muhammad Syafiq, bayinya serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Isterinya, Nur Amalina, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25, dan anak perempuannya Aaira Nur Safiyya, 2, hanya cedera ringan.