KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited dalam penambahbaikan peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan lebih kondusif ke arah melonjakkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di negeri ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata untuk memastikan usaha itu direalisasikan, Persidangan MyMudah @ PemudahCara Sabah Maju Jaya (SMJ) diadakan di sini hari ini membincangkan pelbagai isu berkaitan usaha itu yang dihadiri panel mahir dalam bidang berkenaan.

"Persidangan pada hari ini merupakan manifestasi kerajaan, merentas peringkat kebangsaan dan negeri, dalam memastikan perkhidmatan awam berintegriti, cekap, dan telus kepada komuniti perniagaan dan seluruh masyarakat.

Selain itu, inisiatif ini merupakan cerminan kolaborasi utuh antara pihak kerajaan dan swasta, berteraskan pendekatan keseluruhan negara, dalam sama-sama komited membangunkan Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan MyMudah @ PemudahCara SMJ 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan adalah pendekatan bukan fiskal kerajaan membantu pemain industri dan perniagaan dengan mengenal pasti dan mengurangkan beban peraturan tidak wajar bagi meminimumkan kos pematuhan peraturan, mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Seri Safar Untong berkata untuk menghayati aspirasi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri memperkenalkan platform yang mempunyai objektif dan matlamat sejajar dengan MyMudah dan dijadikan sebagai inisiatif menambah baik urusan menjalankan perniagaan di Sabah iaitu "PemudahCara SMJ".

"PemudahCara SMJ merupakan manifestasi kerjasama sektor perkhidmatan awam dan swasta dalam meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan platform menerima cadangan penambahbaikan kualiti peraturan serta cadangan inisiatif baharu daripada pemain industri berkaitan perniagaan dan isu lain berkaitan," katanya.

Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail pula berkata produktiviti negeri Sabah berpotensi untuk meningkat dengan perlaksanaan langkah iaitu kerjasama erat, merentas sektor dan industri, merentas daerah, negeri dan Kerajaan Persekutuan dan merentas perbezaan yang wujud.

Langkah lain katanya adalah perubahan minda dan proses kerja serta amalan pengurusan di segenap peringkat dan diuruskan dengan baik dan berterusan dan apa juga intervensi atau perubahan yang ingin dilaksanakan, perlu dimulakan dengan ujikaji pada skala kecil untuk mengukur keberkesanan dan impaknya.

"MPC komited dalam memacu produktiviti negara ke arah mencapai sasaran pertumbuhan 3.7 peratus setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12), melalui program peningkatan produktiviti seperti pembangunan bakat, penerimagunaan teknologi dan mereformasi peraturan," katanya.

-- BERNAMA