Kerajaan negeri menafikan sekeras-kerasnya mengeluarkan sebarang kebenaran untuk melaksanakan projek Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (JELAS) seperti yang didakwa sebuah syarikat baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika diajukan soalan berkenaan berkata, kerajaan negeri langsung tidak tahu mengenai pelan perancangan lebuh raya tersebut.

Beta Mutiara Corporation (BMT) sebelum ini mendakwa kelulusan projek lebuh raya itu telah dimasukkan ke dalam pelan tempatan Majlis Daerah Selama.

Sebaliknya, Zambry mendakwa, tindakan BMT yang tidak mendapatkan kebenaran baik daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mahu pun kerajaan negeri, dilihat seperti sesuatu yang amat terancang.

"Saya telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam (Rabu) untuk mengesahkan perkara berkenaan.

"Kerana, mereka (BMT) cuba untuk mendapatkan beliau kononnya bagi merasmikan Lebuhraya JELAS itu, tetapi beliau sendiri pun tidak tahu, dan menggesa jangan gunakan nama dia.

"Saya ingin tegaskan, bahawa kerajaan negeri tidak bertanggungjawab (dalam projek ini) dan tidak pernah memberi kononnya sebarang perakuan kepada BMT. Tidak ada sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias di SMK Hutan Melintang sempena Pemukiman Daerah Bagan Datuk pada Khamis.

Ulasnya, sebarang perancangan atau perbincangan untuk pembinaan lebuh raya akan dimaklumkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri seperti yang dilakukan dalam proses perancangan Lebuhraya Pantai Barat sebelum ini.

"Saya mendapat banyak maklumat berkenaan kegiatan ini. Lantaran itu bila ada desas-desus perasmian projek oleh menteri, saya terus memeriksa sama ada projek ini diluluskan oleh EPU. Tidak sama sekali.

"Saya tidak ingin membuat tuduhan awal sekiranya terdapat penyelewengan, tetapi kalau dilihat dari segi modus operandi mereka, ia seolah-olah satu gerakan yang begitu terancang," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Speaker Kerajaan Negeri merasmikan projek itu, Dr Zambry berkata beliau tidak menyalahkan S Thangeswary yang dilantik ke kerusi itu pada Ogos lalu kerana mengganggap kesilapan itu disebabkan faktor jawatan yang dipegangnya itu masih baru.

"Mungkin mereka datang dan bercerita tentang latar belakang dan atas niat baik, beliau mengganggap ia satu projek dalam negeri Perak, maka beliau bertindak merasmikan.

"Walau bagaimanapun, kita menegur dan akan maklumkan kepada beliau untuk mendapatkan pengesahan daripada kita dan mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri jika terdapat lagi projek sebegini," katanya.

Dr Zambry berkata sebelum ini sekitar lima tahun lepas, pihak BMT pernah cuba mengemukakan cadangan membina lebuh raya namun diingatkan untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada kerajaan persekutuan.

"Kita akan berbincang dengan LLM dan kerajaan persekutuan untuk tindakan seterusnya kerana tindakan mereka amat serius.

"Malah, mereka turut menggunakan logo LLM di bunting," ujarnya lagi.

Difahamkan, pihak Jabatan Kerja Raya telah menafikan memberi sebarang kebenaran manakala pihak LLM telah membuat laporan polis berkenaan projek JELAS oleh BMT dan kenyataan penafian turut dikeluarkan pada Khamis.