Skip to main content

Malaysia

Kerajaan negeri Pahang minta orang ramai waspada sindiket penipuan urusan permohonan tanah

JERANTUT, 11 Mac -- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bercakap pada sidang media pengumuman dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) 2026 di sini hari ini.  Wan Rosdy berkata KOSMA akan membayar dividen unit ladang berjumlah RM30.62 juta kepada 1,494 anggota, selain pendahuluan dividen sebanyak satu unit ladang bernilai RM6,000 kepada semua anggota dengan jumlah keseluruhan RM8.964 juta.  fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wan Rosdy berkata orang ramai yang merasakan dirinya tertipu diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUANTAN: Pahang mengesan satu sindiket penipuan urusan permohonan tanah di daerah Bentong melibatkan tanah milik kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sindiket itu menawarkan urusan pemberimilikan tanah dengan meminta orang ramai membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses berkenaan dilaksanakan. 

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tiada melantik mana-mana individu, ejen ataupun syarikat untuk menjalankan urusan pemberimilikan tanah kerajaan negeri di luar prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama kerajaan negeri, dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau melakukan urusan berkaitan tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata orang ramai yang merasakan dirinya tertipu diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan negeri kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang. Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement