Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan elaun bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa berkata beliau mengambil perhatian cadangan berkenaan dan Kementerian Kewangan akan meneliti secara terperinci dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk implikasi kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata cadangan berkenaan hanya boleh dipertimbangkan jika ada peningkatan dalam harga minyak mentah dan minyak sawit serta jumlah pungutan hasil negeri bertambah baik pada masa akan datang.

Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, bagi menjelaskan persoalan dibangkitkan beberapa ADUN berkaitan cadangan itu.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata kerajaan negeri menerusi Kementerian Kewangan Sabah tidak pernah mengeluarkan 'lesen' perniagaan tukar barangan, sebaliknya hanya mengeluarkan surat kelulusan bagi menjalankan perniagaan tersebut.

Katanya, pengeluaran surat itu perlu melalui proses semakan dan tapisan keselamatan yang teliti dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

"Permohonan hanya akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan negeri setelah lulus tapisan keselamatan berkenaan dan surat kelulusan hanya akan dikeluarkan oleh kementerian sekiranya syarat yang ditetapkan dipenuhi," katanya