IPOH:Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad memberi jaminan bahawa kemelut politik yang berlaku sejak seminggu lalu tidak menyebabkan kerajaan hilang fokus.

Dengan dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri dan kakitangan kerajaan negeri, beliau akan memastikan kebajikan rakyat negeri Perak terus terbela.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengadakan mesyuarat pada Khamis malam dengan pegawai kerajaan, membincangkan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri, Rabu depan.

"Seterusnya saya akan panggil mesyuarat Exco yang pertama yang akan diadakan pada hari Isnin diikuti pada hari Selasa. Kita akan panggil semua ADUN. 59 ADUN akan dijemput ke Casuarina untuk kita mengadakan taklimat berkaitan dengan bajet supaya pada hari Rabu selepas pembentangan itu, ADUN-ADUN dapat membahaskannya berasaskan kepada taklimat yang kita berikan.

"Semua ini kita lakukan sebab kita ingin membuktikan kepada rakyat negeri Perak bahawa apa juga yang telah berlaku dalam tempoh satu minggu yang lalu, tidak menyebabkan kerajaan hilang fokus," ujar beliau.

Saarani ditemui pada sidang media selepas memulakan tugas hari pertama di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh pada Jumaat.

Terdahulu, beliau memasuki pejabat dengan mengimbas kad perakam waktu di pintu masuk pejabat pada jam 9 pagi.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama-sama Penasihat Undang-Undang Negeri, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.


Menteri Besar Perak ke-14 itu akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan jabatan kerajaan negeri pada sebelah petang untuk saling berinteraksi supaya ada kesefahaman bagi meneruskan perkhidmatan yang cemerlang kelada rakyat Perak.

Pada Khamis, Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah.

Ia sekali gus menamatkan kemelut politik yang berlaku selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar ketika persidangan Dewan Negeri pada 4 Disember lalu.