ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menafikan terdapat kegiatan pengorekan pasir di kawasan perairan di beberapa pulau di Yan sebaliknya aktiviti itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan berada di perairan kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kerajaan negeri sudah dimaklumkan mengenai aktiviti itu menerusi dokumen berkaitan dengan kelulusan diberikan kepada sebuah syarikat di kawasan pelantar yang diluluskan.

Katanya, beliau telah menerima laporan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah mengenai kelulusan aktiviti ini daripada KeTSA.

Bagaimanapun aktiviti itu tidak boleh melebihi tiga batu nautika dari kawasan pulau kerana ini merupakan sempadan perairan hak milik kerajaan negeri.

"PTG dah buat laporan kelulusan ada daripada KeTSA, federal water kita ada had. Daht ahu berapa nautica miles state punya, tiga nautica miles state punya. Lepas pada tu federal punya kelulusan. Kawasan itu federal dan memang ada kelulusan.

"Kita ucap terima kasih cuma tak tepat dia bukan dalam kawasan state, dia kawasan federal jadi kawasan federal kelulusan dia federal dah bagi dan dia maklum pada kita melalui Mesyuarat Exco dia hantar satu kertas bahawa ada satu kelulusan diberi pada syarikat sekian-sekian untuk ambil pasir di pelantar, dia nama pelantar dalam kawasan federal itu diuruskan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Muhammad Sanusi diminta mengulas mengenai laporan Astro AWANI baru-baru ini mengenai dakwaan pengusaha bot pelancongan dan nelayan terjejas akibat aktiviti pengorekan pasir berhampiran beberapa pulau di kawasan itu.

Aktiviti itu dikesan berlaku di sekitar Pulau Bidan, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Dayang Bunting, yang dikhuatiri akan memberi kesan buruk terhadap pembiakan ikan dan ekosistem di sekitar kawasan berkenaan.

Ancaman Alam Sekitar | Korek Pasir: Nelayan & pengusaha bot terjejas


Terdahulu, Muhammad Sanusi ditemui pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PKNK menyerahkan mok cek berjumlah RM1.99 juta kepada Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Datuk Norizan Khazali.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.