Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP digesa supaya mengeluarkan dokumen mengenai projek tambakan laut di Pesiaran Gurney kerana ia adalah milik rakyat Pulau Pinang.

Naib Pengerusi Gerakan negeri Lee Boon Ten berkata kerajaan negeri juga perlu mengubah status dan kontrak kerja penambakan laut berkenaan agar ia boleh didedahkan kepada orang ramai.

Katanya, setelah memberi angka yang tidak konsisten mengenai projek Pesiaran Gurney, Seri Tanjung Pinang (STP1) dan STP2, kerajaan negeri perlu mengeluarkan dokumen itu sekarang.

"Kami masih menunggu keputusan permohonan yang dibuat mengikut Akta Kebebasan Maklumat. Jika tiada apa yang hendak disembunyikan, maka kerajaan negeri perlu dedahkan dokumen kontrak itu kepada rakyat Pulau Pinang untuk penelitian mereka.

"Rakyat berhak untuk tahu apa yang berlaku di Pesiaran Gurney, bagaimana pampasan diberi untuk tanah dan berapakah sebenarnya saiz penambakan yang dilakukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 14 Mac, pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri Jason Loo memohon mendapatkan dokumen mengenai penambakan laut itu mengikut Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan sedang menunggu keputusannya, yang dijangka diketahui awal bulan ini.

Menurut Lee, dokumen itu bukan milik kerajaan negeri, tetapi milik rakyat Pulau Pinang dan kepentingan awam menuntut dokumen berkenaan dikeluarkan.

"Apabila dokumen itu dikeluarkan, maka kami akan mendapat gambaran lebih jelas tentang projek berkenaan dan bagaimana ia memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Satu laporan minggu lepas menyebut bahawa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancang Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo menjelaskan bahawa hanya 53 hektar akan ditambak di sepanjang pantai Pesiaran Gurney oleh pemaju yang dilantik kerajaan negeri.

Katanya, tambahan 24.2 hektar daripada pulau seluas 307 hektar yang akan dibina di luar pantai dalam projek Seri Tanjung Pinang Fasa Dua (STP2) juga akan diberi kepada negeri ini dan menjadikan jumlah keluasannya ialah 77.31 hektar. -- BERNAMA