KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju untuk menyediakan tanah milik kerajaan sebagai tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, keputusan itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Pahang (MMK) dengan komitmen menyediakan keutamaan terhadap pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Menurutnya, penyediaan tanah milik kerajaan itu dapat melancarkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus membolehkan pembinaan menara telekomunikasi dapat dimulakan segera.

"Isu tapak menara sudah selesai dan kini sebanyak 191 menara baharu akan dibina di Pahang di bawah program Jendela dengan memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Pembinaan menara telekomunikasi baharu ini bagi memastikan penduduk di Pahang dapat menikmati capaian internet dan liputan yang lebih baik," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau menjelaskan sebanyak 270 menara baharu yang dirancang di bawah pelaksanaan fasa 1 Jendela bermula tahun 2020 sehingga tahun ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 28 menara telekomunikasi sudah dibina pada tahun 2020 manakala 51 lagi pada tahun lalu dan bakinya 191 menara akan dilaksanakan tahun ini.

"Tujuh syarikat telah dilantik oleh kerajaan dalam projek pembinaan menara telekomunikasi dan proses pelaksanaan dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama melibatkan kerja pembinaan infrastruktur menara dan aksesorinya manakala peringkat kedua pula berkaitan dengan penyediaan peralatan elektronik serta penyediaan rangkaian perkhidmatan.

"Syarikat yang terlibat ialah Edotco, Theta, Felda FGV Prodata, Baycomm, Celcom, Digi dan juga UMobile. Semua menara ini dijangka akan siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata, antara inisiatif lain di bawah Jendela Pahang yang sedang dilaksanakan adalah menaiktaraf 902 stesen pemancar, melengkapkan 118,260 premis dengan rangkaian gentian optik dan menyediakan internet jalur lebar dengan teknologi satelit di 69 perkampungan orang asli.

Ujarnya, melalui pelaksanaan jendela, kadar liputan rangkaian jalur lebar generasi keempat (4G) terus meningkat daripada 89.1 peratus kepada 92.56 peratus.

"Kadar liputan dijangka akan terus meningkat apabila semua inisiatif Jendela siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

"Saya juga berharap, semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama yang baik di antara satu sama lain dan berusaha sebaik mungkin dalam mempercepatkan projek Jendela ini demi kemudahan rakyat serta kemajuan Pahang," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan semua maklumat terbabit telah dimaklumkan dan diperjelaskan ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan jendela Pahang pada Jumaat.

Jelasnya, mesyuarat itu dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Pahang, Mohd Faisal Md Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Orang Asli Corporation (ORACO) Pahang, Datuk Muhammad Olian Abdullah dan Pegawai Pelaburan Perniagaan Negeri Pahang (Pejabat Menteri Besar), Datuk Kamarul Arifin Abd Rahman.


Artikel asal di Sinar Harian