KOTA BHARU: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri sudah membuat pemantauan berhubung ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan yang disebarkan oleh Gerakan Akhir Zaman (Gaza) di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melakukan pemantauan berkaitan ajaran berkenaan.

"Sejak akhir-akhir ini, wujud kepercayaan sebegitu (ajaran mimpi lelaki Pakistan) kerana masyarakat tidak memahami agama Islam dengan sebenar.

"Mereka mula berkreativiti dengan sesuatu amalan dan meletakkan 'wajah' agama, tetapi kelompok-kelompok ini masih lagi dalam kawalan yang melakukan perkara-perkara menyimpang dari ajaran Islam sebenar," katanya selepas diminta mengulas mengenai penyebaran ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan oleh Gaza yang didakwa mula dikembangkan di dalam negara ini.

Menurutnya, walaupun kelompok itu kecil kerajaan sentiasa memastikan penyebaran ajaran-ajaran sesat dan salah ini akan disekat dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata, hal ini bagi memastikan ajaran tersebut tidak menjadi kumpulan yang besar sekali gus menyukarkan kerajaan untuk mengawal.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, umat Islam perlu berpegang kepada ketulenan ajaran Islam yang berlandaskan al-Quran, sunnah nabi dan mengikut mazhab yang diiktiraf sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Jangan terlalu ghairah mencari jalan pintas untuk mendapat kedudukan yang tinggi dalam agama. Sehingga kita menyimpang dari hakikat beragama yang sebenar," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kumpulan berasal dari Indonesia itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.


*Berita asal di Sinar Harian