Kerajaan Pas Kelantan turut mengakui dan senada dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memangkin pertumbuhan ekonomi negeri di Pantai Timur.

Sambil menyambut baik pembinaan ECRL itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi sokongan penuh dengan sebarang usaha membangunkan negeri itu oleh Kerajaan Persekutuan.

"Sebab itu kita sokong penuh projek ini. Bila dibentang untuk kemajuan negeri dan perhubungan antara negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur.

"(Malah) pembinaan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan. Atas sebab itu kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam proses pengambilan tanah dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembinaan projek pembinaan ECRL.

Semalam, Najib ketika berucap pada majlis pecah tanah projek ECRL memaklumkan bahawa projek ECRL menghubungkan negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur dapat memangkin pertumbuhan ekonomi sehingga 1.5 peratus.

Najib turut memaklumkan projek ECRL bakal membuka peluang pekerjaan untuk anak tempatan sekali gus dapat mengurangkan anak-anak Kelantan berhijrah.