Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pastikan kenaikan gaji minimum tidak jejas peluang pekerjaan

Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan dan akan dilaksanakan seiring dengan peningkatan produktiviti pekerja, kata Akmal Nasrullah. - Gambar fail
Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan dan akan dilaksanakan seiring dengan peningkatan produktiviti pekerja, kata Akmal Nasrullah. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan dan akan dilaksanakan seiring dengan peningkatan produktiviti pekerja.

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan menyedari kebimbangan bahawa kenaikan gaji minimum boleh menyebabkan berlaku pemampatan gaji atau wage compression, iaitu jurang gaji antara pekerja baharu dan pekerja berkemahiran lebih tinggi menjadi semakin kecil.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Aminolhuda Hassan, mengenai risiko majikan mengurangkan pengambilan graduan atau mengubah syarat kelayakan pekerjaan susulan kenaikan gaji minimum.

Menurut Akmal, kerajaan mengambil pendekatan seimbang dengan memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan operasi serta kedudukan kewangan masing-masing.

“Sekiranya perkara itu menimbulkan respons yang luar biasa, ia akan memerlukan usaha tambahan untuk menguruskan kesannya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perbincangan mengenai gaji tidak boleh hanya tertumpu kepada kos sara hidup semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira produktiviti pekerja dan majikan.

Menurutnya, peningkatan produktiviti perlu disokong melalui penambahbaikan kemahiran tenaga kerja, penggunaan teknologi yang lebih meluas serta pelaksanaan latihan berterusan.

Akmal berkata kerajaan juga sedang meneliti kerangka pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja separuh mahir dan graduan untuk menangani isu pemampatan gaji yang mungkin berlaku.

“Mekanisme ini perlu dibina dengan mengambil kira penyesuaian dari segi skop kerja dan tanggungjawab supaya pemberian gaji selari dengan peningkatan produktiviti,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama kerajaan adalah memastikan pertumbuhan gaji yang mampan dan progresif dalam pasaran pekerjaan negara.

Pada masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada laluan kemajuan pendapatan rakyat melalui penanda aras gaji kehidupan wajar (living wage).

Menurut Akmal, kerajaan telah menetapkan penanda aras baharu untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan menaikkan sasaran gaji kehidupan wajar daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan mulai tahun hadapan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja menikmati gaji minimum yang lebih baik, malah mempunyai prospek peningkatan pendapatan yang lebih mampan selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Must Watch Video

Advertisement