KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh usaha menangani kemerosotan kualiti air sungai negara menerusi pelaksanaan lebih tegas, penggunaan teknologi pintar serta pendekatan pencegahan yang lebih proaktif.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fokus utama tahun ini adalah memastikan semua perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang jelas menerusi garis masa yang tegas dan akauntabiliti khusus kepada pelaksana, bukannya sekadar menambah dasar atau cadangan baharu.
Beliau berkata, pendekatan reaktif tidak lagi memadai dan negara perlu beralih kepada tindakan lebih proaktif berasaskan pencegahan, disokong penguatkuasaan konsisten serta tindakan awal bagi mengenal pasti risiko pencemaran sebelum menjejaskan bekalan air rakyat.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 1/2026 di Dewan Baiduri, Menara PETRA, pada Khamis.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberitahu, mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha pencegahan pencemaran, peningkatan kualiti air sungai serta pengukuhan pengurusan sumber air negara dengan setiap cadangan perlu diteliti dari aspek kebolehlaksanaan, keberkesanan dan impak pelaksanaannya.
Katanya, fokus utama tahun ini adalah memastikan semua perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang jelas menerusi garis masa yang tegas dan akauntabiliti khusus kepada pelaksana, bukannya sekadar menambah dasar atau cadangan baharu.
Tambah beliau, penggunaan teknologi seperti sistem pemantauan masa nyata, telemetri dan Internet of Things (IoT) perlu diperluaskan supaya tindakan intervensi dapat dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan selaras dengan pengurusan sungai moden berteraskan daya tahan iklim, teknologi pintar dan tadbir urus bersepadu.
Menurutnya lagi, sungai perlu dilihat sebagai aset strategik negara yang bukan sahaja membekalkan air, malah menyokong keselamatan makanan, biodiversiti, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu memainkan peranan lebih berdisiplin dan bertanggungjawab bagi memastikan sungai negara kekal bersih serta bekalan air lebih terjamin kepada rakyat