Skip to main content

Sukan

Nate Diaz, Francis Ngannou antara tumpuan kad utama MVP MMA

Apr 15, 2026; New York, NY, USA; Nate Diaz and Mike Perry pose after the press conference for the Most Valuable Promotions MMA card at Palladium Theater. Mandatory Credit: Ed Mulholland-Imagn Images
Antara yang paling dinanti ialah kemunculan semula bekas bintang UFC, Nate Diaz, yang akan bertemu petarung agresif bare-knuckle fighting, Mike Perry, dalam pertarungan khas kelas welterweight. - Foto REUTERS/Ed Mulholland-Imagn Images

WALAUPUN pertarungan antara Ronda Rousey dan Gina Carano menjadi perhatian utama dunia MMA minggu ini, kad utama acara MVP MMA di Intuit Dome, California turut dibarisi beberapa nama besar lain yang dijangka mencuri tumpuan peminat.

Antara yang paling dinanti ialah kemunculan semula bekas bintang UFC, Nate Diaz, yang akan bertemu petarung agresif bare-knuckle fighting, Mike Perry, dalam pertarungan khas kelas welterweight.

Diaz terkenal sebagai antara figura paling popular dalam sejarah UFC menerusi gaya bertarung lasak, ketahanan fizikal serta kemenangan ikonik ke atas Conor McGregor pada 2016. Selepas meninggalkan UFC, beliau aktif dalam acara ‘crossover combat’ termasuk tinju profesional dan pertarungan khas berprofil tinggi.

Perry pula membina reputasi sebagai petarung berintensiti tinggi menerusi aksi agresif dalam Bare Knuckle Fighting Championship (BKFC), menjadikan pertemuan dengan Diaz antara pertarungan paling sukar diramal dalam acara tersebut.

Selain itu, perhatian turut terarah kepada bekas juara heavyweight UFC, Francis Ngannou, yang dijangka membuat penampilan khas dalam acara berkenaan susulan kerjasama strategiknya bersama Most Valuable Promotions (MVP). 

Ngannou sebelum ini mencipta sensasi dalam dunia sukan tempur menerusi kuasa knockout luar biasa serta perpindahannya ke arena tinju profesional.

Penganalisis melihat kehadiran nama-nama besar seperti Diaz, Perry dan Ngannou menunjukkan usaha penganjur untuk menjadikan acara tersebut lebih daripada sekadar 'pertarungan nostalgia' antara Rousey dan Carano.

Acara di Intuit Dome itu juga dianggap sebagai langkah penting dalam strategi Netflix untuk mengembangkan kandungan siaran langsung sukan tempur kepada pasaran global. Platform penstriman itu sebelum ini memberi fokus kepada acara tinju dan hiburan sukan, namun kini mula memasuki arena MMA secara lebih serius.

Menurut jadual rasmi, kad pembukaan dijangka bermula sekitar 6 pagi Ahad waktu Malaysia, manakala kad utama bermula sekitar 9 pagi.

Gabungan nama veteran UFC, ikon crossover combat dan legenda MMA wanita dijangka menjadikan acara MVP MMA di Los Angeles antara pertunjukan sukan tempur paling mendapat perhatian global tahun ini.


-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video