KANGAR: Kerajaan Perlis berharap agar Zon Aliran Bebas di sempadan Wang Kelian-Thailand dapat dibuka semula, bagi merancakkan semula ekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata langkah itu adalah bagi membolehkan rakyat tempatan mendapat faedah sewajarnya di samping menghidupkan kembali kawasan itu yang semakin suram.

Azlan berkata banyak pihak boleh menjalankan perniagaan di kawasan terlibat, namun polisi yang ditetapkan telah membuatkan rakyat negara ini tidak mendapat manfaat sebaiknya.

"Akhirnya nanti kita akan berhadapan dengan suasana sama seperti yang berlaku di Bukit Kayu Hitam- Danok dan sebab itulah dasar kita kena betul dalam hal ini.

"Saya harap apa yang berlaku di Wang Kelian ini dapat diperbetulkan, di mana pada masa kini kita sendiri dapat lihat kawasan di Wang Prachan, Thailand mula membangun selepas kita menutup Zon Aliran Bebas ini," katanya selepas Majlis Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020 di sini pada Isnin.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis itu dan telah disambut Azlan dan isteri Datin Seri Noraswana Omar serta barisan exco kerajaan negeri.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, baru-baru ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin menitahkan agar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian di sini, dapat dinaik taraf dengan segera.

Azlan berkata kerajaan negeri sudah beberapa kali menyuarakan kepada kerajaan Persekutuan agar kemudahan Zon Aliran Bebas itu dapat diperkenalkan semula, bagi kemudahan penduduk dan masyarakat setempat.

"Kerajaan negeri memang sensitif dengan isu-isu keselamatan, pemerdagangan manusia dan penyeludupan, namun kita tak mahu hanya disebabkan oleh satu isu banyak pihak terpaksa merana.

"Kita mahukan pelaksanaan yang dapat memberi manfaat kepada semua khususnya rakyat tempatan," katanya.

Tambah Azlan kerajaan negeri juga telah mencadangkan agar aspek keselamatan di sempadan Wang Kelian dapat ditambah baik, malah perkara itu turut mendapat perhatian daripada Istana Perlis.

Kemudahan Zon Aliran Bebas di sempadan Wang Kelian sebelum ini dimansuhkan sejak 2015 atas faktor-faktor keselamatan.

Zon aliran bebas itu merupakan satu perintah yang mengecualikan rakyat Thailand dari keperluan mendapatkan pas lawatan dan keperluan mengemukakan pasport ke kawasan pintu masuk Wang Kelian di Malaysia serta mengecualikan rakyat Malaysia daripada keperluan mengemukakan pasport ke kawasan Wang Prachan di Thailand.

-- BERNAMA