PUTRAJAYA: Bekas pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner, perlu disiasat berhubung dakwaan beliau telah menyogok beberapa pegawai 1MDB dan kerajaan berhubung penyelewengan dana syarikat itu, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, senarai nama berkenaan amat penting untuk membersihkan namanya daripada skandal terbabit.

Najib berkata, beliau pelik mengapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan olah tidak ingin mengetahui, dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok Leissner sehingga Goldman Sachs terpaksa membayar penalti serta ganti rugi sehingga RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.

“Sebab itu, saya dinasihat dan terpanggil untuk membuat laporan SPRM hari ini terhadap Tim Leissner supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal, membawa balik beliau atau meminta senarai nama dari DOJ agar nama-nama ini didedahkan secara umum dan tindakan yang sewajarnya boleh diambil,” katanya lagi.

[TERKINI] Sidang media Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat SPRM


Beliau berkata demikian selepas selesai membuat laporan SPRM ke atas Leissner dan mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mengeskstradisi individu berkenaan supaya siasatan lanjut dapat dilakukan.

Terdahulu, Najib berkata, Goldman Sachs dilantik oleh Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum beliau menjadi Perdana Menteri (2009) dan sebelum ia dipindah ke kerajaan Persekutuan, seterusnya ditukar nama menjadi 1MDB.

Pada tahun 2020, Najib menegaskan, Leissner telah mengaku salah di mahkamah pernah menyogok beberapa individu dari syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang nama-namanya tidak didedah secara umum.

Akibatnya, jelas Najib lagi, Goldman Sachs bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$3.9 bilion, bersamaan dengan RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia tahun lepas.

“Pada awal tahun ini, peguam saya berjaya memenangi kes di Amerika Syarikat untuk mendapat senarai nama dalam pengakuan Leissner yang telah disogok beliau.

“Namun, kerajaan Amerika Syarikat melalui DOJ telah membantah keputusan mahkamah Amerika Syarikat dan telah menghalang nama-nama tersebut didedahkan,” katanya lagi.

Najib berkata, ketika itu, seorang peguam dari syarikat guaman terkenal Brahman & Associates mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng, telah mengeluarkan kenyataan media bahawa senarai nama tersebut adalah bukti "exculpatory" atau "exculpatory evidence" yang boleh membersihkan nama beliau sebagai terlibat dalam penipuan 1MDB.

Susulan itu, Najib berkata, pada pertengahan tahun ini, barisan guamannya telah meminta mahkamah, dan pihak pendakwaan untuk mendedahkan senarai nama tersebut, malangnya usaha mereka tidak kesampaian.

“Saya amat pelik kenapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan seolah-olah tidak ingin mengetahui dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok Tim Leissner.

“(Situasi itu) menyebabkan, Goldman Sachs terpaksa membayar penalti serta gantirugi sehingga RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Najib berkata, usaha beliau berpaksikan prinsip untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan senarai nama tersebut merupakan bukti yang sangat penting.

“Kalau kita percaya kepada the rule of law and fair trial, nama-nama ini perlu didedahkan sebab ia melibatkan bukan saja prinsip fair trial, tapi kredibiliti mereka yang menjadi saksi-saksi itu merupakan satu perkara utama dalam soal mengemukakan keadilan.

“Kita (telah) melalui mahkamah tapi dihalang DOJ, sebab itu kita tak ada avenue lain, terpaksa minta Peguam Negara untuk melakukan ekstradisi terhadap Tim Leissner ataupun mendapat maklumat daripada pihak berkenaan dari Amerika Syarikat,” katanya lagi.