Pengumuman perletakan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy (gambar) pada hari Sabtu telah menarik perhatian orang ramai kepada dakwaan beliau bahawa kerajaan telah gagal memenuhi janji-janji tertentu, terutamanya mengenai masyarakat India.

Pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam (CPPS) dan pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam berpendapat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan tuduhan-tuduhan yang dilontarkan itu.

“Dakwaan bahawa kerajaan tidak memenuhi janji-janjinya adalah sangat serius. Ia memerlukan satu tindak balas yang cepat dan memuaskan untuk melindungi integriti dan tadbir urus yang baik kerajaan,” beliau memberitahu Astro AWANI.

"Yang paling penting, Perdana Menteri dan kerajaan perlu mengotakan janji mereka, kalau tidak, keyakinan awam akan merosot dengan lebih jauh, " tambah beliau.

Pada hari Sabtu, HINDRAF, atau Persatuan Hindraf Malaysia mengumumkan perletakan jawatan Waythamoorthy dari semua jawatan kerajaannya pada hari Isnin. Waythamoorthy sendiri telah mengesahkan perkara tersebut.

Beliau yang juga merupakan pengasas HINDRAF, dilantik sebagai senator dan timbalan menteri selepas Pilihanraya Umum ke-13 tahun lepas, di mana beliau telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Perlantikan beliau dalam kerajaan dipercayai telah memecahkan HINDRAF kepada dua kumpulan— satu yang memihak kepada pembangkang dan satu lagi yang berpihak kepada BN.

Sementara itu, Ramon juga berpendapat kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai perletakan jawatan Waythamoorthy.

“Pertama sekali, apakah yang diminta oleh Waytha? Apakah cadangan yang dikemukakan? Dan apakah janji-janji yang gagal dikotakan oleh kerajaan?”