Kerajaan perlu menambah insentif untuk penjenteraan, automasi dan perobotan di bawah dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kajian dijalankan di bawah TN50 menunjukkan 65 peratus pekerjaan dalam negara hari ini adalah berisiko tinggi dan boleh digantikan dengan robot menjelang 2050.

“Ketika ini, kita terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing berkemahiran rendah,” katanya kepada pemberita di luar Bual Bicara Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (KLBC) mengenai TN50X dan Masa Depan Malaysia: Pandangan Korporat, di sini, pada Jumaat.

Khairy berkata, pada masa depan, pihak yang memiliki robot berkemungkinan menjadi orang yang paling kaya, dan akan wujud perbezaan berkaitan pemilikan buruh atau robot.

Mengenai kemajuan dasar TN50, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan dokumen berkenaan pada Hari Malaysia, 16 Sept tahun depan.

Kementerian Belia dan Sukan diberi tanggungjawab untuk mengumpulkan aspirasi TN50 daripada golongan belia sepanjang 2017, selepas pelan transformasi nasional selama 30 tahun itu diumumkan oleh Najib semasa pembentangan Bajet 2017.

“Kementerian Belia dan Sukan akan menyerahkan laporan aspirasi itu kepada kerajaan pada akhir tahun ini, dan Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan menelitinya,” katanya.

-- BERNAMA