KUALA LUMPUR:Kerajaan disarankan mengambil pendekatan pandang ke timur dalam perang menentang penularan COVID-19 di negara ini.

Pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata Malaysia gagal belajar daripada negara-negara di rantau Asia seperti Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Vietnam yang mana masyarakat dan sektor ekonomi mereka berjalan seperti biasa tanpa sebarang pengurungan atau sekatan.

“Sekiranya anda lihat negara-negara yang berkembang maju sepanjang tahun lalu, ia adalah negara di Asia Timur kerana mereka berjaya mengawal penularan wabak itu tanpa melaksanakan ‘lockdown’. Sektor komersial dan kehidupan berjalan seperti biasa sementara rakyatnya mempraktikkan langkah berjaga-jaga.

“Di Malaysia, langkah berjaga-jaga yang diambil harus dipuji tetapi pada masa yang sama, kami dapat melakukan dengan jauh lebih baik,” kata Dr Jomo pada sesi webinar berjudul Tackling the COVID-19 Pandemic: MCO, Emergency and Alternatives yang dianjur Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Dan Selangor.

Kabinet terbesar dalam sejarah tetapi gagal berfungsi

Beliau mendakwa, salah satu masalah utama yang dihadapi kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak ialah kurang pendekatan daripada semua semua pihak (all-of-government) termasuk pentadbiran dan agensi awam.

“Walaupun kita mempunyai Kabinet terbesar dalam sejarah negara ini, Kabinetnya gagal berfungsi, ia tidak konsisten dari segi tindakan Kabinet dan sering kali keputusan untuk berdepan dengan pandemik itu bergantung diserahkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Tidak ramai yang terlibat, kecuali mungkin penglibatan Menteri Kanan Pertahanan yang juga meliputi Kementerian Dalam Negeri.

“Ia berbeza dengan pendekatan Korea Selatan dan Jepun yang mana pengaturan pengangkutan awam dan jadual kerja diubah secara radikal bagi memastikan tidak terlalu ramai orang yang menaiki pengangkutan awam pada masa yang sama.

"Banyak negara yang mempraktikkan amalan ini. Jadi daripada pandang ke Timur, kita berpandang ke Barat,” dakwanya.

BACA: Pasca 4 Februari: Baiki komunikasi, umum SOP perniagaan dengan segera - Penganalisis

BACA: PKP penuh? Tunggu pengumuman sebelum 4 Februari - Ismail Sabri

BACA: Awas! Tindakan tegas tanpa kompromi selepas 4 Februari

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan menutup ekonomi sepenuhnya dalam mengekang penularan COVID-19 dan akan memfokuskan kepada sektor perkilangan dan pembinaan.