Kementerian Kewangan mengumumkan sejumlah RM925.1 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) telah dikembalikan kepada kementerian itu hasil usaha pihak berkuasa Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan pecahan itu, RM92.3 juta datang dari Singapura, RM805.8 juta (Amerika Syarikat) dan RM27 juta (Malaysia).

Menurut beliau, pihak berkuasa negara ini dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara sedang giat mendapatkan dana yang diselewengkan untuk membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan dana berkaitan 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah berjumlah RM925.1 juta termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB dalam mata wang pelbagai denominasi.

“Harus ditekankan bahawa jumlah RM6.1 juta yang diterima kembali oleh Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak. Akan tetapi, Yayasan 1MDB belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, jumlah RM925 juta itu tidak termasuk hasil jualan kapal super mewah, Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd. dengan harga AS$126 juta (kira-kira RM527.4 juta).


Sebaliknya, hasil jualan tersebut telah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia untuk tempoh tiga bulan.

“Ia bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2019.

“Bila diterima ASD126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB,” ujarnya.

Guan Eng turut memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun organisasi dan parti-parti politik Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, dan SUPP kerana telah menerima dana yang berpunca daripada 1MDB.

Katanya, langkah itu sebagai sebahagian usaha untuk mendapatkan kembali wang tersebut.