KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memberi perhatian penuh bagi merapatkan jurang pembangunan di empat negeri di Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kaedah berkesan dan pantas tanpa mengorbankan tatakelola, dilakukan berdasarkan perancangan pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021-2025.

"Maknanya kita perlu melihat apatah lagi Kelantan, negeri yang menjadi tumpuan antara empat negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan, yang agak terkebelakang dan memerlukan pemerhatian.

"Kita perlu mencari kaedah bagaimana untuk mempercepatkan projek, tidak guna kita sudah luluskan peruntukan sebanyak RM2.57 bilion, tetapi pelaksanaan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka projek itu tidak dapat disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Fadillah berkata apabila terdapat penyelarasan dengan adanya Pejabat Pembangunan Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), diharap memberi manfaat dan dapat berbincang supaya seluruh pendekatan dapat dilaksanakan.

"Berdasarkan rekod, Kelantan menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam kalangan empat negeri tersebut bagi 2023, kerajaan Persekutuan sentiasa serius dalam memastikan pembangunan terus dilaksanakan tanpa mengira perbezaan politik.

"Bagi merealisasikan amanah tersebut, ia disampaikan kepada semua ketua jabatan agensi Persekutuan dan pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka perlu memainkan peranan bukan hanya difokuskan kepada pembangunan fizikal semata, tetapi ia juga perlu dilihat dari aspek pembangunan sosial," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata berdasarkan bancian, Kelantan merekodkan jumlah bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar tertinggi di Semenanjung.

"Sehingga 11 Sept, jumlah yang direkodkan bagi KIR miskin seramai 57,355 orang dan KIR miskin tegar seramai 10,417, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 67,772 orang KIR," katanya.

-- BERNAMA