Kerajaan pertimbang guna eKYC sahkan umur dan identiti pengguna aplikasi OMI - Fahmi

Fahmi berkata langkah tersebut turut bertujuan melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah siber. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan identiti pengguna (eKYC) bagi mengesahkan umur serta identiti pengguna aplikasi janji temu Omi Blind Date (OMI), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata pengesahan berkenaan boleh dibuat dengan menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
Beliau berkata langkah tersebut turut bertujuan melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah siber, susulan laporan kes membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan melalui aplikasi berkenaan.
"Ini satu keadaan yang amat kita kesali. Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti perkara ini dan memanggil syarikat yang mengendalikan aplikasi tersebut bagi mendapatkan penjelasan tentang langkah serta mekanisme sistem verifikasi umur yang digunakan ketika ini.
"Selepas itu, kita juga akan mempertimbangkan penggunaan sistem eKYC," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata kaedah sama turut sedang diteliti kerajaan terhadap permainan dalam talian Roblox susulan laporan mengenai insiden membabitkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya berusia enam tahun, yang dikaitkan dengan pengaruh permainan itu.
"Buat masa ini, permainan dalam talian seperti Roblox dan lain-lain belum tertakluk kepada sebarang rejim pelesenan. Namun kerajaan sedang mempertimbangkan langkah terbaik, termasuk pelaksanaan pengesahan identiti, bagi mengehadkan pendedahan kanak-kanak kepada kemudaratan dalam talian, termasuk permainan dalam talian," katanya.
Beliau berkata siasatan polis sedang dijalankan dan kerajaan mengambil maklum kebimbangan ibu bapa terhadap pengaruh permainan dalam talian terhadap kanak-kanak.
"Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap satu permainan sahaja, sebaliknya melihat secara menyeluruh ekosistem permainan dalam talian.
"Roblox memaklumkan mereka sedang melaksanakan proses verifikasi umur menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi pemain bawah 13 tahun," katanya.
Fahmi berkata beliau baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan dua wakil Roblox yang berpangkalan di Korea Selatan dan Australia.
"Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan kepada wakil Roblox bahawa kerajaan memandang serius beberapa insiden yang berlaku, termasuk kes terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak mencederakan adiknya," katanya.
Fahmi turut menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau penggunaan peranti oleh anak-anak, sambil menambah bahawa peranti tidak boleh dijadikan pengganti kepada pengawasan ibu bapa.
"Saya juga telah meminta MCMC melalui kempen Internet Selamat memberikan penjelasan mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa, termasuk tidak membenarkan anak-anak memuat turun atau menggunakan aplikasi tanpa pengawasan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


