KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan pengunaan vaksin CanSino kepada pelarian di negara ini mulai bulan depan.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, keputusan itu dibuat bagi mempercepatkan negara mencapai imuniti kelompok di negara ini.

Bahkan, tegas beliau, langkah sama juga dibuat berikutan kesukaran mengenal pasti jumlah kapasiti sebenar pelarian.

"Untuk golongan pelarian, kita bagi satu dos sahaja vaksin CanSino... kita sudah runding dan akan dapat (bekalan) akhir bulan Julai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan hari pertama pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil, di sini pada Isnin.

Sementara itu, mengulas mengenai penduduk di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai dokumen lengkap, beliau berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul.

Sekalipun, penduduk berkenaan mempunyai masalah dokumen, vaksin, jelasnya, akan tetap diberikan.

"Kita sudah bagi arahan sesiapa pun dapat diberikan vaksin kalau tiada dokumen takpe kita catit nama dan alamat, soal tiada dokumen selesaikan kemudian.

"Yang penting kita bagi vaksin kepada mereka dulu," katanya lagi.