Kerajaan akan mengkaji dan mempertimbang sebarang bidaan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang berminat untuk membeli PLUS Malaysia Berhad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya bidaan yang dikemukakan adalah wajar dan bersesuaian, kerajaan bersedia untuk menjualnya.

“Apa-apa bidaan yang dibuat oleh sesiapa akan dikaji oleh kerajaan. Kalau sesuai dengan kehendak kita, kita akan layan kehendak mereka.

“Kita boleh jual, tapi kita mesti ada tempat juga untuk kita pengukuhkan di situ. Kita ada satu jawatankuasa yang memerhatikan masalah hutang dan pembayarannya dan mereka akan beri pertimbangan kepada sebarang cadangan untuk mengurangkan hutang negara,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menegaskan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Sayap pelaburan itu telah pun menolak semua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

Untuk rekod, Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam Plus manakala bakinya dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Beberapa syarikat telah menyatakan minat untuk membeli Plus termasuk RRJ Capital, sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang menawarkan RM3 bilion untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan syarikat konsesi lebuh raya itu.