MELAKA: Kerajaan memperuntukkan RM59.7 juta bagi pembelian dan penambahbaikan aset Angkatan Pertahanan Awam (APM) termasuk ambulans pacuan empat roda dan lain-lain kenderaan di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, peruntukan itu disalurkan secara berfasa bagi tempoh hingga Julai tahun depan.

"Peruntukan itu melibatkan RM26 juta bagi penambahbaikan aset APM, RM26.9 juta untuk pembelian 100 ambulans pacuan empat roda dan RM6.8 juta bagi 46 kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk operasi menyelamat.

"Kita berharap kesemua aset itu dapat disediakan secepat mungkin kerana pembeliannya amat diperlukan APM dalam kesiapsiagaan 24 jam menghadapi sebarang bencana terutamanya dalam cuaca yang tidak menentu ketika ini, selain menggantikan kenderaan yang rosak dan kurang keupayaan mekanikal untuk operasi penyelamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Latihan Kemahiran Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) di Jeti Kampung Kuala Sebatu, Sungai Rambai, di sini yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed.

Pada majlis itu, seramai 38 peserta latihan kemahiran PASPA menerima pemakaian beret biru selepas lulus kesemua latihan berat yang dijalankan sepanjang 31 hari.

Mengulas lanjut, Wilson berkata sehingga kini terdapat 130 anggota dalam pasukan khas itu yang diiktiraf Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berada di zon merah lokasi bencana mahupun kecemasan.

"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya penambahan 80 anggota PASPA sehingga tahun depan dan meneruskan latihan kemahiran ini untuk melatih anggota yang mampu bertugas di kawasan berisiko tinggi," katanya.

Beliau turut memohon MKN meluluskan cadangan APM untuk diserapkan ke dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kerana angkatan itu juga mempunyai kepakaran serta kelengkapan menyelamat seperti mana pasukan lain.

-- BERNAMA