GEORGE TOWN: Bantuan pukat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada semua nelayan yang berlesen di negeri itu meningkat kepada RM1.614 juta pada 2023 berbanding RM959,600 pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata seramai 4,037 nelayan yang berlesen menerima bantuan pukat sebanyak RM400 secara one-off tahun ini, berbanding 2,399 nelayan pada 2022.

"Program Bantuan Pukat oleh kerajaan negeri dilihat sebagai salah satu landasan terbaik dalam membantu meningkatkan kesejahteraan nelayan di negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa menghargai usaha dan kerja keras nelayan di negeri Pulau Pinang dalam memenuhi keperluan makanan melalui hasil tangkapan laut dan sungai di negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Pukat Negeri Pulau Pinang 2023.

Beliau berkata pemberian bantuan ini telah dilaksanakan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang telah menyalurkan peruntukan tersebut ke akaun bank penerima.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut bersetuju agar pemberian bantuan pukat bagi tahun ini dilaksanakan secara kaedah pemberian wang tunai melalui penganjuran majlis di lima daerah di negeri ini.

Katanya, terdapat seramai 940 nelayan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), 312 nelayan di Seberang Perai Tengah (SPT), 835 nelayan di Seberang Perai Utara (SPU), 1,134 nelayan di Barat Daya serta 816 nelayan di daerah Timur Laut yang terlibat dalam pemberian bantuan pukat tahun ini.

"Diharapkan pemberian bantuan pukat ini akan sedikit sebanyak membantu untuk meringankan beban dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat pada setiap kali ketibaan musim perayaan, khususnya perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi," katanya.

--BERNAMA