JERANTUT: Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan bantuan kepada masjid dan surau yang terjejas banjir, walaupun institusi berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya sedia menyalurkan bantuan jika terdapat permohonan diajukan menerusi sahabat agensi di bawah kementerian itu.

"Kita sebenarnya tiada peruntukan khusus berkaitan bantuan musibah ini, cuma ada sesetengah agensi agama seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang ada peruntukan diberikan kerajaan.

"...ada bahagian tertentu pada peruntukan itu untuk bantuan kepada mereka yang terkesan jika berlaku kecemasan, musibah atau sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang di Masjid Tengku Mahkota Abdullah di sini hari ini.

Pengagihan bantuan itu melibatkan 29 ketua isi rumah (KIR) di Jerantut dan 125 di Raub dengan masing-masing menerima sumbangan wang tunai serta barangan seperti keperluan dapur dan kit solat.

Banjir di Pahang bermula pada 24 Dis lepas melibatkan daerah Jerantut disusuli Raub, Lipis, Kuantan, Temerloh, Maran dan Bera, yang secara kumulatifnya melibatkan 1,078 mangsa daripada 273 KIR, namun bencana itu semakin pulih dengan hanya lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Maran, Bera dan Temerloh masih beroperasi tengah hari ini.

Selain Pahang, negeri lain yang terjejas banjir ialah Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na'im menasihatkan orang ramai peka dan berwaspada dalam memilih agensi pelancongan bagi tujuan umrah tidak menjadi mangsa penipuan umrah.

"Dapatkan maklumat jelas daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk lihat agensi pelancongan yang sudah disenaraihitamkan. MOTAC mengambil tindakan sewajarnya apabila terdapat aduan (penipuan) dikemukakan.

"Untuk urusan haji, semakan boleh dibuat dengan Tabung Haji kerana kita mengeluarkan sijil untuk menguruskan haji kepada mereka yang layak.

"Pastikan sijil mereka masih sah dan mohon semua untuk peka supaya tidak tertipu dengan mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Mohd Na'im berkata mereka yang menjadi mangsa penipuan juga dinasihatkan membuat aduan rasmi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

-- BERNAMA