MALAYSIA
Kerajaan rancang bangunkan model AI tempatan, kurangkan kebergantungan syarikat asing

Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata inisiatif dikenali Model Bahasa Raya Kebangsaan (NLLM) itu dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama industri, universiti, dan penyedia tempatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) versi tempatan menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya, bagi menyokong kedaulatan digital dan keselamatan data negara, serta mengurangkan kebergantungan syarikat asing.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang membangunkan Model Bahasa Raya Kebangsaan (NLLM), teknologi AI versi tempatan berasaskan Bahasa Malaysia bagi menyokong kedaulatan digital dan keselamatan data negara.
- Majlis Pendidikan Negara (MPN) akan ditubuhkan tahun ini sebagai badan tertinggi penyelaras dasar pendidikan negara, dipengerusikan Perdana Menteri dan melibatkan pelbagai pihak termasuk industri dan akademik.
- KPM menyasarkan penambahan 250 kelas prasekolah baharu pada 2025 dan memperkenalkan laluan khas ke IPGM bagi graduan Kolej Vokasional, selain mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan TVET melebihi 99 peratus.
Pada masa sama, beliau berkata cadangan membangunkan Islamic Artificial Intelligent System juga akan diteliti bersama pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), agar selari dengan usaha kerajaan membangunkan AI beretika yang berteraskan nilai Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata kementeriannya akan menubuhkan Majlis Pendidikan Negara (MPN) tahun ini sebagai badan tertinggi penyelaras dasar pendidikan negara selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035.
Beliau berkata MPN, yang dipengerusikan Perdana Menteri, akan dianggotai barisan menteri termasuk kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, dengan penyertaan pelbagai kementerian, pakar akademik, industri dan komuniti.
"MPN ini diharap dapat merangkumi pandangan menyeluruh daripada semua pihak dan menyokong pembangunan industri serta pasaran tenaga kerja negara selaras aspirasi Ekonomi MADANI," katanya ketika menggulung perbahasan RMK13 bagi kementeriannya.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan penambahan 250 kelas prasekolah baharu di seluruh negara pada 2025, bagi memperluas akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.
"Sehingga 31 Julai lepas, 10,175 kelas beroperasi di 6,349 institusi pendidikan melibatkan 216,041 murid. Daripada jumlah ini, 4,222 kelas di kawasan luar bandar dan pedalaman, melibatkan 79,393 murid atau lebih 36 peratus keseluruhan murid prasekolah," katanya ketika menggulung perbahasan RMK13 bagi kementeriannya.
Mengenai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Wong berkata kadar keboleh pasaran graduan meningkat secara konsisten dari 99.16 peratus (2022) kepada 99.91 peratus (2024), menunjukkan keyakinan tinggi industri terhadap program Kolej Vokasional.
Beliau berkata KPM juga memperkenalkan laluan khas bagi graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Vokasional yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.50 ke atas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Seramai 50 daripada 95 calon berjaya mendapat tempat di IPGM Kampus Sultan Mizan, Terengganu dan IPGM Tun Hussein Onn, Johor tahun ini, sekali gus membantu meningkatkan bilangan guru pendidikan awal dan memperkukuh keboleh pasaran graduan TVET," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami