Skip to main content

Malaysia

Mindef runding pembekuan dana ATM, operasi kekal terjamin - Khaled

PETALING JAYA, 16 Feb -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana hari ini._BERNAMA
Mohamed Khaled bercakap pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana hari ini.- Foto Bernama

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) kini sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan berhubung keputusan kerajaan membekukan sementara sebahagian dana perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya telah dimaklumkan untuk satu sesi libat urus diadakan bagi meneliti implikasi keputusan itu terhadap aspek kritikal pertahanan negara.

Advertisement

Katanya, fokus utama perbincangan adalah memastikan sebarang langkah penjimatan tidak menjejaskan keupayaan operasi dan tahap kesiapsiagaan ATM.

“Perkara ini masih dalam rundingan. Keutamaan kita adalah memastikan operasi serta tahap siap siaga ATM tidak terjejas akibat keputusan tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) di Menara Prasarana, di sini pada Isnin.

Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan berkaitan pembekuan sementara semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan yang sedang berkuat kuasa.

Jelasnya, walaupun terdapat pembekuan terhadap sebahagian dana, operasi harian ATM tetap berjalan seperti biasa tanpa gangguan.

“Setakat ini, pelaksanaan operasi tidak terjejas. Soal kesiapsiagaan pertahanan negara akan terus kita pelihara dan utamakan,” katanya.

Pembekuan itu dilaporkan dilaksanakan bulan lalu susulan siasatan terhadap dakwaan rasuah serta salah guna kuasa yang membabitkan beberapa pegawai kanan ATM.

Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengarahkan supaya semua kelulusan kontrak perolehan pertahanan dihentikan sementara sehingga proses semakan menyeluruh dilaksanakan.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri urusan siasatan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun ianya menuntut tindakan  tegas serta komprehensif diambil bagi memastikan integriti sistem perolehan terpelihara.
 

Must Watch Video