Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan usaha penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri itu.

Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim berkata penyusunan itu akan dilaksanakan bersama Projek Langat 2 supaya tidak dikendali secara berasingan.
Abdul Khalid berkata tugas pertama beliau sebagai MB Selangor ialah untuk menyelesaikan masalah penstrukturan semula industri air di negeri ini.

"Tumpuan saya dalam masa terdekat ialah untuk menyambut hasrat Perdana Menteri untuk memulakan proses penyatuan nasional di mana ujian pertama ialah untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

"Saya telah pun menyediakan surat berhubung perkara ini dan akan menghantarnya kepada perdana menteri esok... saya amat berharap beliau akan memberi tindak balas positif sejajar dengan Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA," katanya kepada pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini pagi ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata penstrukturan semula industri perkhidmatan air penting untuk memastikan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menikmati perkhidmatan air yang efisien, berkesan dan mapan pada kadar munasabah.

Abdul Khalid berkata teras masalah air itu ialah air tanpa hasil (NRW) atau air yang dibazirkan disebabkan ketidakcekapan.

Beliau juga mendakwa masalah itu wujud berikutan kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengurangkan NRW yang mengakibatkan kehilangan 633 juta liter air terawat sehari di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.