KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia memberikan sebarang input sebagai solidariti dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan, bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan melantik wakil daripada Sabah di dalam Sekretariat Khas yang diwujudkan sebagai pusat tumpuan utama menangani isu berkenaan.

"Kita akan melantik satu atau dua orang di dalam sekretariat, urusetia yang menangani tuntutan berkenaan dan tugas kita ialah untuk memberi input berasaskan kepada pandangan kita dan sejarah tentang tuntutan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Taklimat Mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu bersama Kerajaan Sabah dan ahli komuniti Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, serta 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata pelantikan itu, akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Sabah sebelum diputuskan dan pada masa sama, beliau mahu setiap ADUN menyampaikan maklumat yang sahih kepada akar umbi, berkenaan isu tuntutan kumpulan Sulu.

BACA: Kerajaan guna semua cara hentikan tuntutan Sultan Sulu - Azalina

BACA: 
Kumpulan Sulu buat tuntutan di mahkamah untuk dapatkan wang - Azalina

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe yang juga ADUN Luyang berkata sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah, beliau amat berpuas hati terhadap usaha kerajaan Persekutuan dalam mendepani tuntutan kumpulan berkenaan.

Beliau berkata tindakan kerajaan Persekutuan yang tidak menyerah kepada mana-mana pihak terhadap sebarang tuntutan melibatkan negeri Sabah, merupakan suatu tindakan tepat dalam menjaga kesejahteraan dan kedaulatan Sabah.

"Walaupun ini hanya melibatkan tuntutan komersial tetapi jika kita tidak berkeras, ia (dikhuatiri) akan mewujudkan (isu) tentang kedaulatan Sabah," kata ADUN daripada DAP itu.

ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata tuntutan tersebut tidak sepatutnya berlaku, ketika Sabah telah memilih untuk bersama membentuk Malaysia pada 1963.

"Di pihak Filipina pun tidak mengiktiraf kumpulan yang menuntut ini...jadi ini yang jelas, cuma hanya serpihan-serpihan (kumpulan Sulu). Kita negara berdaulat, tidak sepatutnya mereka berbuat seperti itu," kata ADUN daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah itu.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Keputusan itu juga telah digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Malaysia kemudiannya telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada, untuk membatalkan dua anugerah yang diberi oleh Stampa.

-- BERNAMA