KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjalin kerjasama bagi membangunkan sistem data raya berkaitan program pembangunan di wilayah itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perkongsian data raya itu akan membolehkan penyelarasan semua program pembangunan di Wilayah Sarawak dimantapkan.

"Hari ini kita ada persetujuan antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, ialah berkongsi data (data raya), kita nak membangunkan satu sistem.

"Saya dah berbincang dengan Datuk KSU bahawa kita bersetuju untuk membangunkan satu sistem data raya yang boleh kita kolaborasi dengan negeri (Sarawak), maksudnya kita kongsi data bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya, jalan kampung, ameniti sosial, rumah PPRT, baik pulih, Tadika KEMAS bawah kementerian dan keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Turut serta, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir, sistem data raya dalam bentuk maklumat setempat itu akan memudahkan penyelarasan di peringkat KPLB dan agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan di Wilayah itu.

Selain itu, ia juga boleh mengelakkan pertindihan serta memudahkan pemantauan bagi setiap kawasan dan projek yang dilaksanakan.

Susulan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak itu juga, KPLB akan mengadakan perbincangan lanjut di peringkat pegawai tertinggi melibatkan kedua-dua pihak kementerian dan kerajaan Sarawak untuk penyelarasan projek pembangunan KPLB.

Secara pentadbirannya, penyelarasan itu akan melibatkan tiga peringkat iaitu persetujuan peringkat kementerian dan kerajaan negeri, peringkat pengurusan tertinggi KPLB dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan peringkat teknikal yang membabitkan pegawai pelaksana.

"Untuk membolehkan penyelarasan projek-projek pembangunan Persekutuan melalui KPLB kepada negeri Sarawak, (ada) empat komponen, pertamanya adalah jalan luar bandar, yang keduanya adalah bekalan elektrik luar bandar, yang ketiganya adalah bekalan air luar bandar, (dan) yang keempatnya adalah kesejahteraan rakyat yang melibatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT," katanya lagi.

Selain itu, KPLB turut akan mengambil kira cadangan Ketua Menteri Sarawak untuk menentukan program pembangunan mengikut fokus kawasan.

"Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak menyebut mengenai bagaimana hendak melihat satu-satu kawasan di Wilayah Sarawak ini boleh dibangunkan.

"Jadi kita fokus kepada beberapa kawasan dan saya punya keyakinan bahawa kita di peringkat kementerian dan di peringkat Persekutuan (padankan) dengan apa yang kerajaan negeri minta dari segi kawasan mana yang (hendak dibangunkan)," ujarnya.