KOTA BHARU: Kerajaan melalui Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 menyasarkan untuk menjenamakan Malaysia sebagai 'Top of The Mind Ecotourism Destination of the World,' kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, matlamat itu perlu dipikul dan digembleng secara bersama antara semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan serta para penggiat industri untuk memastikan pembangunan produk ekopelancongan sentiasa mampan, berdaya saing dan inklusif.

"Usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen kerajaan terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Antara strategi yang perlu dipertingkat adalah melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk ekopelancongan yang lebih agresif dan konsisten bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri ekopelancongan di negara ini," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli di Pantai Cahaya Bulan, di sini,3 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Abdul Wahid Abu Salim.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, KeTSA akan memainkan peranan yang amat signifikan di bawah Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan penjanaan ekonomi setempat di sekitar kluster ekopelancongan.

"Malaysia amat kaya dengan khazanah sumber asli yang bernilai tinggi dan ini terbukti apabila negara kita telah dinobatkan sebagai antara 17 negara di dunia yang diklasifikasikan sebagai negara mega diversiti yang menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna yang masih belum dikenali dan dijelajah sepenuhnya.

Beliau berkata, di bawah KeTSA sahaja, terdapat lebih 150 lokasi ekopelancongan yang terdiri daripada Taman Negara, Hutan Taman Negeri, Taman Ekorimba, Geotapak, Tapak Ramsar, Wetland dan Stesen Penyelidikan Pehutanan Malaysia.

"Lokasi-Lokasi ini merupakan antara khazanah sumber asli negara yang harus kita syukuri, nikmati dan jagai dengan sebaik-baiknya," katanya. - BERNAMA