TANJUNG MALIM: Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 125,000 hufaz yang berkebolehan dalam bidang profesional seperti perubatan, perundangan dan korporat menjelang tahun 2050. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi merealisasikan usaha itu Pusat Pengajian Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), bersama-sama gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) diminta untuk menyediakan modul pengajian khas berkaitan dalam tempoh dua minggu lagi. 

Menurutnya sekiranya modul pengajian berkenaan dapat disiapkan ia juga akan diperluaskan ke semua institusi pendidikan lain seperti tabika dan tadika kemas, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta lebih 200 pusat pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di seluruh negara. 

Katanya, pengenalan program itu  adalah bermatlamat untuk membantu sebahagian besar daripada kira-kira 280,000 hufaz di maahad-maahad tahfiz di seluruh negara untuk keluar daripada garis kemiskinan. 

“Kerana terdapat persepsi bahawa kerja-kerja ibadah ini harus percuma tetapi mereka perlu hidup. untuk itu kita mahu mempertingkatkan martabat hufaz ini supaya mereka juga mempunyai kelulusan akademik dan dengan ada keputusan akademik ini dalam peringkat sijil, yang ada kredit transfer nya untuk mereka mengambil diploma dan pada waktu yang sama mereka di SPMkan.

“Ertinya di dalam kesinambungan sijil ke diploma, itu di situ UPSI akan juga menguruskan agar mereka ada SPM, kerana syarat SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) jika tidak ada SPM mereka tidak boleh termasuk dan terjun dalam bidang kerjaya perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena lawatannya ke UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada Ahad. 

Hadir sama, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Md Amin Md Taff,  serta Presiden PINTA, Mohd Zahid Mahmood. 

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah berkenaan amat baik dalam usaha mengetengahkan lagi pendidikan tahfiz ke aliran pendidikan nasional. 

Pada masa sama, Pengarah PUA UPSI, Dr Sakinah Salleh berkata pusat pengajian yang ditubuhkan pada tahun 2017 itu menyediakan latihan, kursus, modul, penyelidikan dan aktiviti berstruktur berdasarkan yang merangkumi komponen quranik, ensiklopedik dan ijtihadik (QEI).

Katanya pusat pengajian berkenaan juga tidak hanya terhad kepada pelajar-pelajar daripada aliran agama sebaliknya ia turut terbuka kepada pelajar daripada aliran-aliran pengajian lain.