KUALA LUMPUR:Kerajaan akan melihat semula dasar yang diguna pakai untuk mengimport padi dari negara luar bagi kegunaan negara ini, termasuk usaha meningkatkan penghasilan beras tempatan kepada kadar 75 peratus daripada penggunaan keseluruhan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk luar, selaras dengan suasana penularan COVID-19 yang melanda dunia.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, setakat ini kerajaan mengguna pakai dasar 70:30, iaitu penghasilan 70 peratus beras tempatan, dan pengimportan 30 peratus beras luar untuk kegunaan rakyat ini.

“Sejak sekian lama kita menggunapakai dasar 70% pengeluaran beras tempatan, dan 30% beras import, tetapi COVID-19 dan penutupan sempadan negara menjadi sedikit penghalang. Ia mengajar kita untuk melihat semula dasar ini.

“Kita diminta rancakkan penanaman padi secara skala besar. Jadi dasar 70:30 akan dilihat semula, dan kita sasarkan supaya mampu sekurang-kurangnya 75% pengeluaran tempatan. Ini akan kurangkan kebergantungan kepada import,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu Sidang Media Khas Menteri Pertanian dan Industri Makanan berhubung Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Selain itu Ronald berkata, sektor pertanian dan agro makanan penting kerana ia menyumbang kepada bekalan makanan negara ini, dan ia adalah satu-satunya industri yang telah berkembang 1 peratus pada suku kedua tahun ini dan diunjurkan akan terus berkembang pada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun hadapan.

Melalui belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas, Ronald berkata, MAFI secara keseluruhan menerima RM4.79 bilion, iaitu RM3.28 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, dan RM1.51 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Antara peruntukan yang diterima untuk Memodenisasi Sektor Pertanian, termasuklah RM100 juta diperuntukkan untuk projek pertanian dan penternakan berimpak tinggi; RM150 juta untuk program pemodenan vessel dan mekanisasi tangkapan; serta RM10 juta untuk program pengembangan akuakultur.

Selain itu, Ronald berkata, RM1.7 bilion akan digunakan untuk pemberian subsidi, insentif, dan bantuan untuk nelayan, termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan yang dinaikkan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

Beliau berkata, Kementerian akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Belanjawan 2021 dengan efektif bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat.

“Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri pastinya akan sentiasa melaksanakan semua program dan inisiatif kesejahteraan rakyat yang diumumkan dengan tepat dan efisien.

“Saya juga telah minta supaya semua agensi-agensi di bawah Kementerian ini termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan Agrobank supaya terus memainkan peranan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan,” katanya lagi.

Tambahnya, Belanjawan itu diharap dapat membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk pengusaha agromakanan untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara serta KDNK negara.