KUALA LUMPUR: Masih banyak ruang yang boleh diterokai, supaya ekonomi industri kreatif negara ini dapat berkembang dengan lebih pesat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pada tahun 2019, industri tersebut menyumbang sekitar 1.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding negara jiran yang secara purata menyumbang lima hingga tujuh peratus KDNK.

Dengan tenaga kerja menghampiri 900,000 orang, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Kerajaan telah mensasarkan sumbangan 20 peratus kepada KDNK, dari industri kreatif tempatan, dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang 2025.

“Ada ruang yang luas untuk Kerajaan memudahcarakan pertumbuhan ini. Ia tidak hanya memerlukan pembuat dasar, tetapi juga korporat serta pencipta kandungan, yang boleh memainkan peranan penting untuk membangunkan industri kreatif negara, terutamanya era selepas COVID-19.

“Kerajaan Malaysia sentiasa mengiktiraf industri ini, dan telah menyalurkan pelbagai dana untujk membantu dan menyokong pengamal industri dan perniagaan untuk mengharungi pandemik,” katanya lagi.

Annuar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama, bersempena dengan Forum Kreatif Kuala Lumpur (KUL.CEF) anjuran Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), dengan kerjasama Persatuan Alumni Felo Perdana.

KUL.CEF, merupakan forum yang menghimpun komuniti seni, dermawan, serta badan-badan korporat demi manfaat bersama dalam mencipta sektor budaya yang lebih mampan, menarik dan bercita-cita tinggi.

Forum ini melibatkan ucaptama, perbincangan panel terdiri daripada badan-badan korporat dan yayasan serta peluang untuk mendengar dan bertemu dengan wakil-wakil ekosistem seni tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu Annuar berkata, semua pihak terlibat, termasuk kerajaan perlu memaksimakan potensi industri kreatif, termasuk memanfaatkan teknologi digital dan kreativiti rakyat Malaysia, disamping mengekalkan budaya negara, seni dan warisan.

“Kita akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk landskap kreatif, menaiktaraf bakat sedia ada supaya menepati kehendak industri, serta memperkasa pembangunan produk dan inisiatif promosi.

“Pemboleh pertubuhan ini akan meningkatkan pendapatan serta peluang pekerjaan, serta meningkatkan identiti budaya khas tempatan, sekaligus membuka jalan bagi Malaysia untuk menjadi pengeksport dan peneraju bidang kreatif yang terkenal,” katanya lagi.