Kerajaan akan bersiap sedia dengan jawapan yang terbaik bagi segala persoalan yang akan diutarakan oleh pihak pembangkang ketika bermulanya sidang Dewan Rakyat pada 19 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti persidangan sebelum ini, pihak kerajaan telah menjangkakan pelbagai isu daripada pihak pembangkang dan juga telah bersedia dengan segala jawapannya.

“Sebagaimana persidangan yang telah berlaku sebelum ini, tentu kita menjangkakan beberapa isu akan dibangkit dan dibincangkan. Kami tidak pernah terkejut dengan isu-isu baharu yang akan dibangkitkan termasuk yang melibatkan perkara-perkara penyiasatan yang sedang dilaksanakan oleh agensi penyiasatan,” ujar beliau.

Zahid juga berharap agar pembangkang juga telah bersiap sedia untuk menerima segala jawapan itu dengan sebaik-baiknya.

“Dalam hal ini, kita tentunya bukan hanya bersiap siaga memberikan jawapan, tetapi mereka juga harus bersiap siaga untuk menerima jawapan yang diberikan pihak kerajaan itu sebagai penjelasan.

“Mereka harus berlapang dada dan terbuka fikiran untuk menerima jawapan-jawapan rasmi itu sebagai penjelasan yang tidak diputarbelitkan,” kata Ahmad Zahid.

Begitupun, kata beliau, pihak pembangkang selalunya sukar untuk menerima apa sahaja penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan kerana mereka adalah pembangkang yang tidak pernah bersetuju dengan sebarang tindakan kerajaan.

Menyentuh tentang bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO Saifuddin Abdullah yang telah menyertai Parti Keadilan Rakyat, Ahmad Zahid menyatakan bahawa Saiffuddin mungkin lebih sesuai berada di pihak tersebut.

“Beliau mungkin lebih sesuai berada di bahagian berkenaan untuk memberikan sumbangan pada parti itu dari segi memperbesarkan masalah pada parti berkenaan.

“Ketika beliau berada dalam UMNO, itulah sumbangan besar yang telah diberikan oleh beliau dan kita harap sumbangan itu jugalah yang diberikan pada parti baharu yang disertainya,” ujar Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis taklimat bersama pihak Sarawak Hidro di Stesen Janakuasa Hidro Elektrik Bakun di daerah Kapit, Sarawak pada petang Jumaat.