Penambahbaikan sistem perkhidmatan awam dalam menyediakan peluang untuk penjawat awam muda mendominasi Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan golongan belia yang diadakan malam tadi.

Menurut salah seorang peserta, Wan Abdul Hadi Wan Muhammad Shafie, penambahbaikan itu penting memandangkan kebanyakan penjawat awam muda turut mempunyai aspirasi untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia antara yang terbaik di dunia.

"Aspirasi saya untuk TN50 ialah menjadikan perkhidmatan awam kita yang terbaik di dunia.

"Bukan kerana pada masa sekarang ia tidak mencapai tahap tertinggi, (tetapi) dengan cabaran, persepsi pelbagai pihak, ia perlukan transformasi yang fokus agar perkhidmatan awam kita disegani dunia," katanya.

Wan Abdul Hadi berkata demikian ketika memberi pandangan mengenai isu berkaitan perkhidmatan awam pada dialog itu di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada Khamis, yang turut dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada komuniti belia dari seluruh Malaysia.



Turut hadir pada majlis yang bertujuan mendapatkan input dalam merencana dasar negara, ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta menteri-menteri Kabinet.

BACA: PM Najib hayati aspirasi golongan muda untuk input TN50

BACA: Ekonomi digital akan pacu aspirasi pertumbuhan dua angka Malaysia - PM Najib


Mengulas pandangan yang dikemukakan, Najib menyifatkannya satu idea yang bernas apabila pelantikan penjawat awam secara merit boleh memberi peluang kepada generasi baharu untuk memegang jawatan lebih tinggi.

Ia dilihat sebagai satu langkah untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, katanya, sambil menyatakan kekaguman beliau terhadap iltizam penjawat awam muda untuk menjadikan perkhidmatan awam negara yang terbaik di dunia.

"Kita boleh membuat penambahbaikan dengan menyediakan 'fast-lane' untuk pegawai yang menunjukkan budaya kerja dan etika yang tinggi.

"Pelantikan tidak semestinya berdasarkan 'seniority' (kekananan). Jika ada perubahan seperti ini orang muda boleh memainkan peranan lebih besar kepada pentadbiran negara," katanya.

Mengakhiri dialog perdana itu, Najib menyifatkan ia sebagai permulaan yang baik dalam mencorak masa depan Malaysia.